KEMAS Iktiraf Peranan Wanita dalam Pembangunan Ekonomi

Laporan/foto: Lydia Humphery Tungkat (Sarawak)

KUCHING, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengambil pelbagai inisiatif yang menyasarkan golongan belia dan beliawanis, ibu tunggal serta suri rumah untuk menceburi bidang keusahawanan.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Yasid, berkata kerajaan menyedari bahawa wanita banyak memainkan peranan tidak kira dalam keluarga ataupun masyarakat.

“Pelbagai usaha telah dibentuk untuk melibatkan para wanita dalam proses pembangunan negara agar potensi wanita dapat dioptimumkan selaras dengan Dasar Wanita Negara 1989.

“Kerajaan telah mengiktirafkan peranan golongan wanita dalam pembangunan ekonomi melalui penyediaan peluang dan ruang untuk mempertingkatkan pencapaian mereka serta berperanan dalam proses pembangunan ekonomi,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Wanita Inspirasiku (WINS) bertemakan “Wanita Desa ke Global” di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad, wanita hari ini juga bergerak maju dalam bidang pendidikan, kemahiran, pekerjaan, dan kepimpinan.

Nasiban Khan, 59, usahawan Batik Borneo Mask. Nasiban Khan, 59, usahawan Batik Borneo Mask.



“Keadaan wanita kini boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan 50 tahun yang lalu di mana pada hari ini kita dapat lihat ramai yang berkarier dan memegang jawatan tinggi lebih-lebih lagi dalam bidang politik tanah air,” katanya.

Menurut Nasiban Khan, 59, dari Sadong Jaya berpendapat dengan menyertai program ini, usahawan wanita sudahpun berada dalam landasan yang betul.

“Program seperti ini menjadikan kami lebih bertekad dalam usaha dan merasakan kami juga mampu bertahan dan bersaing di dalam dunia keusahawan,” kata Nasiban yang merupakan seorang pengusaha fabrik bercirikan batik yang mendapat latihan daripada KEMAS.

Dalam perkembangan sama, Hasmah bt Baharie, 31, pengusaha bakeri dari Kota Samarahan turut bersetuju bahawa melalui platform seperti ini dapat memberi dorongan dan semangat untuk lebih berjaya pada masa hadapan.

“Peluang yang diberikan sangat kami hargai dan menjadikan kami lebih bersemangat dalam mencapai cita-cita di bidang perniagaan.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pihak KEMAS atas peluang dan ruang yang diberikan,” kata Hasmah yang memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Usahawan Berjaya sempena majlis tersebut.

-ZS-