KPSM Bantu Pekebun Kecil Jana Lebih Pendapatan

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

SIMUNJAN, 23 Nov (Malaysiaaktif) - Pekebun kecil persendirian (PKP) sawit di Sarawak akan mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi sekiranya menyertai Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin, berkata
promosi dan hebahan tentang inisiatif dan insentif yang disediakan oleh KPSM, dapat dilipat gandakan bagi meningkatkan penglibatan para PKP di Sarawak agar lebih ramai golongan ini mendapat manfaat dan kelebihan sebagai ahli.

“Sehingga Oktober 2021, bilangan PKP yang menjadi ahli di 18 buah KPSM yang terdapat di Sarawak hanyalah seramai 3,455 orang sahaja iaitu kurang daripada 10% daripada keseluruhan jumlah 37,532 orang PKP berlesen di seluruh negeri Sarawak.

“Walaupun program KPSM ini dilaksanakan khas untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan para PKP, ia juga berperanan membantu golongan ini untuk mendapat harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi.

Angah Risen, Pengerusi KPSM Daerah Serian Berhad menyampaikan ucapan alu-aluan. Angah Risen, Pengerusi KPSM Daerah Serian Berhad menyampaikan ucapan alu-aluan.



“Penyertaan keahlian yang lebih ramai juga dapat menggalakkan penjanaan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahli,” katanya ketika merasmikan tapak pusat timbang KPSM Daerah Serian sempena Program Jelajah Agrikomoditi, di Kampung Sabun, di sini baru-baru ini.

Pengerusi KPSM Daerah Serian Berhad Angah Risen, 52, menzahirkan rasa syukurnya kerana peruntukan geran RM200 ribu untuk pembinaan tanjakan telah diluluskan bagi memberi kemudahan kepada ahli-ahli KPSM di kawasan tersebut.

“Selepas ini ahli dapat terus menjual buah tandan segar ke tanjakan KPSM di sini dan tidak lagi perlu menyewa lori untuk membawa hasil tuaian ke kilang yang letaknya jauh dari kawasan ladang,” ujar Angah.

Derah Bagak, 54, seorang pesara tentera, telah mula menanam kelapa sawit di ladangnya di Kampung Mongkos pada tahun 2005 sebagai persediaan untuk bersara.
“Sekitar tahun 2009, saya menjual hasil tuaian terus ke kilang namun harga di kilang untuk buah baharu yang belum berusia 10 tahun, adalah lebih rendah namun jika dijual kepada koperasi mereka boleh mendapat harga yang lebih tinggi.

“Inilah manfaat yang dapat dikecapi ahli jika berurusan secara terus dengan pihak koperasi, di mana pihak koperasi turut menyediakan pembelian input-input pertanian seperti baja dan bayaran boleh dibuat oleh pekebun kecil secara insuran,” katanya.

-ZS-