MATK Tanda Aras Prestij untuk Penulis Bumi Kenyalang

Laporan/foto: Judy Henry (Sarawak)

KUCHING, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Majlis Anugerah Tinta Kenyalang (MATK) bakal diadakan bagi menghargai karya-karya yang telah dihasilkan penulis-penulis di Negeri Sarawak serta sebagai penanda aras berprestij bagi penulis di negeri ini.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai, berkata projek ini telah dilaksanakan sejak 2008 dan ianya merupakan usaha berterusan DBP Cawangan Sarawak bagi menggalakkan minat untuk menulis karya kreatif dan bukan kreatif.

“Projek ini bertujuan melahirkan penulis Sarawak yang prolifik dan mampan,” ujarnya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Anugerah Tinta Kenyalang (MATK) 2021 dan Malam Lestari Bahasa 2021 di Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuching, di sini hari ini.

Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak mempengerusikan Mesyuarat Majlis Anugerah Tinta Kenyalang dan Malam Lestari Bahasa 2021. Abang Haliman mempengerusikan Mesyuarat Majlis Anugerah Tinta Kenyalang dan Malam Lestari Bahasa 2021.



Menurut Penolong Perancang Bahasa merangkap Pegawai Projek MATK 2021 Mohamad Faizal Jamil, 47, memaklumkan bahawa objektif pelaksanaan projek Anugerah Tinta Kenyalang ini adalah untuk mencungkil bakat penulisan dalam bidang penulisan kreatif dan bukan kreatif dalam kalangan penulis Sarawak bagi melahirkan penulis yang berwibawa.

“DBP sentiasa memainkan peranan memupuk dan menghargai kegiatan penulisan dan penerbitan dalam Bahasa Melayu di Sarawak supaya berkembang maju dan lebih bermutu.

“Pada malam majlis itu nanti, DBP akan menyampaikan hadiah dan penghargaan kepada pemenang peraduan dan penerima anugerah untuk lima kategori.

“Bagi kategori Hadiah Sastera Tunas Sarawak 2021 adalah julung kali dipertandingkan untuk memberi motivasi kepada penulis-penulis baharu yang mana hasil karya mereka telah diterbitkan di media cetak majalah atau akhbar tempatan,” jelasnya.

Menurut Faizal, majlis Anugerah Tinta Kenyalang dahulunya dikenali sebagai Majlis Penyampaian Hadiah Penulisan dan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

"Terdapat lima kategori dipertandingkan, Hadiah Sastera Penulis Sarawak (HSPS) 2020/2021, Hadiah Sastera Tunas Sarawak 2021, Sayembara Penulisan Kreatif 2021, Sayembara Lagu Puisi 2021 dan  Anugerah Citra Majalah Sekolah Sarawak 2020/2021," katanya.

-ZS-