Pengeluaran Caruman RM101 Bilion KWSP Tidak Jejas Pasaran Kewangan Domestik

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 24 Nov (Malaysiaaktif) - Pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM101 bilion melalui skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra tidak akan menjejaskan pasaran kewangan domestik berikutan kedudukannya sebagai antara pemain terbesar dalam pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

Timbalan Menteri Kewangan 1 Mohd Shahar Abdullah berkata pengeluaran tersebut juga tidak memberi impak negatif ke atas pelaburan MGS.

“Malah, langkah seperti kaedah Alokasi Aset Strategik (SAA) sedang dilakukan bagi menampung segala pengeluaran yang dibuat sepanjang tempoh terbabit.

“Kerajaan juga akan terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat ini dapat kembali ke tahap yang sepatutnya,” katanya pada sesi pertanyaan lisan sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai pelan strategi Kementerian Kewangan untuk menyokong jaminan keselamatan persaraan rakyat yang semakin kecil berikutan kebenaran pengeluaran pelbagai skim KWSP.

Dalam kenyataan pada 31 Oktober lepas, KWSP menyatakan bahawa sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahlinya atau menyamai lebih separuh daripada ahli dana persaraan itu.

Mohd Shahar berkata inisiatif lain yang diperkenalkan termasuk yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 mengenai pengeluaran baharu untuk ahli membeli produk insurans atau takaful yang dijangka memberi manfaat perlindungan diri dan keluarga pencarum.

Selain itu, KWSP juga memberi pilihan pengeluaran fleksibel pada usia 55 tahun dan 60 tahun sama ada bayaran secara sekali gus, bulanan, dividen tahunan sahaja atau mana-mana jumlah pada bila-bila masa.

“Ini bagi menggalakkan ahli memilih bayaran pengeluaran secara berkala atau bulanan yang membolehkan simpanan itu terus mendapat dividen tahunan dan bertahan lebih lama,” katanya.

Beliau menjelaskan, inisiatif lain termasuk tempoh tanggungan mencarum iaitu ahli dan majikan wajib mencarum sehingga umur 75 tahun jika masih bekerja.

Bagi menggalakkan ahli terus kekal aktif bekerja dan majikan mengambil pekerja berusia 60 tahun dan ke atas, KWSP tidak mengenakan apa-apa caruman ke atas pekerja manakala majika cuma diwajibkan mencarum hanya sebanyak empat peratus.

Menurutnya, i-Saraan pula diperkenalkan bagi membolehkan golongan bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap mencarum secara sukarela dan sebagai insentif kerajaan menyumbang 15 peratus daripada caruman, tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setahun.

“Selain itu, KWSP turut memperkenalkan i-Suri bagi menjaga kebajikan golongan wanita khususnya suri rumah dengan matlamat simpanan untuk kegunaan hari tua selain menyediakan khidmat nasihat secara percuma berhubung perancangan dan pengurusan simpanan persaraan,” katanya.

Mohd Shahar berkata, inisiatif Belanjawanku pula dilancarkan sebagai panduan perbelanjaan minimum bulanan bagi kategori dan perkhidmatan untuk isi rumah merancang perbelanjaan peribadi dan keluarga.

-- BERNAMA