RISDA Perlis Salurkan RM4 Juta Bantu Pekebun Kecil

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah (Perlis) 

PADANG BESAR, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Para pekebun kecil di negeri ini telah menerima peruntukan sebanyak RM5.629 juta bagi pelaksanaan program pembangunan melalui RISDA Negeri Perlis yang merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menurut Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Tuan Azizan Sulaiman, melalui model perancangan strategik RISDA (MPSR) tahun 2021-2025, RISDA dapat membantu para pekebun kecil memperoleh purata pendapatan kolektif RM4,500 sebulan sekeluarga pada akhir tahun 2025.

"Dengan pecahan pendapatan RM1,500 daripada kebun getah, RM2,500 daripada aktiviti keusahawan dan RM500 daripada hasil baharu.

"Kerajaan negeri juga berbesar hati dan sentiasa menyokong usaha-usaha murni yang dijalankan oleh RISDA dalam memastikan kemakmuran pekebun kecil khususnya di negeri ini dapat dikecapi bersama," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat Negeri Perlis 2021 di Dewan Orang Ramai Kampung Titi Tinggi Hilir, di sini, semalam.

Tambah beliau, segala usaha RISDA ini jika tidak disahut dan tidak mendapat komitmen sepenuhnya melalui perancangan yang digariskan oleh RISDA dalam model Perancangan Strategik RISDA Tahun 2021-2025 ia pasti sukar dicapai.

“Setakat November 2021, RISDA Negeri telah diperuntukkan sebanyak RM5.629 juta bagi membantu para pekebun kecil di bawah pelaksanaan program pembangunan dengan empat bidang utama iaitu Tanam Semula dan Bekalan yang membabitkan sejumlah RM4,711,574.74.

"Produktiviti, Pemasaran dan Program Khas sebanyak RM575,500, Pembangunan Usahawan RM260,000 serta Pengembangan dan Pemindahan Teknologi sebanyak RM82,590," ujarnya.

Beliau berkata, bagi kawasan di Kampung Titi Tinggi Hilir sejumlah RM269,752.83 telah disalurkan dengan pelbagai bantuan yang melibatkan beberapa program pembangunan iaitu tanam semula bagi individu sebanyak RM147,388.22 dengan kawasan seluas 19.1165 hektar.

"Manakala Program Produktiviti, Pemasaran dan Program Khas untuk Skim Insentif Pengeluaran Getah (SIPG) pula diperuntukkan sejumlah RM44,146.86 membabitkan 73.5781 hektar," tambahnya.

Azizan memaklumkan, bagi Pengekalan Pengeluaran Getah (PPG) sejumlah RM28,218.75 telah diberi kawasan dengan keluasan 18.8125 hektar yang mana ia di bawah peruntukan pembangunan usahawan.

"Bantuan aktiviti ekonomi tambahan (AET) dengan peruntukan sejumlah RM30,000 turut disalurkan kepada tiga orang penerima.

"Pihak RISDA juga telah menyalurkan bantuan agro makanan, iaitu projek cendawan dengan nilai RM20,000 kepada seorang penerima," katanya.

Pengarah RISDA Negeri Nor Afzami Isa ketika ditemui berkata, pemberian bantuan musim tengkujuh bagi tahun 2021 sebanyak RM600 di mana RM300 telah selesai diberi dan bakinya akan disalurkan pada bulan hadapan.

"Seramai 1,427 orang pekebun kecil dan penoreh akan menerima bantuan ini.

"RISDA Negeri akan sentiasa mengambil berat, memelihara kebajikan para pekebun kecil dan akan melaksanakan pemantauan rapi agar tidak berlakunya keciciran dalam kalangan pekebun kecil dan penoreh getah di sini," ujarnya.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung majlis penyerahan mock cheque Program Pembangunan Usahawan RISDA Negeri Perlis Tahun 2021 dengan jumlah RM260,000.

Pelbagai bantuan keusahawanan telah disalurkan oleh RISDA Negeri Perlis iaitu Bantuan Aktiviti Eknomi Tambahan (AET) dan bantuan dalam bentuk peralatan bernilai RM10,000 kepada penerima yang layak.

-NI-