Malaysia Tewaskan Skuad Chile

Foto: Konfederasi Hoki Malaysia

PUTRAJAYA, 25 Nov (Malaysiaaktif) - Malaysia melakar kemenangan sulung 2-1 ke atas Chile pada perlawanan pembukaan Kumpulan A dalam saingan Piala Dunia Remaja Lelaki FIH 2021 yang berlangsung di Bhubaneswar, India, semalam.

Biarpun Malaysia menguasai permainan dalam separuh masa pertama, Chile melakukan kejutan awal melalui pukulan sudut penalti bertenaga daripada Agustin Amoroso dalam minit keenam tetapi berjaya diselamatkan penjaga gawang negara Che Shahrul Azmi Che Saupi.

Anak buah Wallace Tan memperoleh peluang terbaik untuk membuka jaringan dalam minit ke-26 tetapi penjaga gol Chile Pedro Hernandez menafikan percubaan Muhammad Arif Shafie Ishak.

Selepas waktu rehat, Malaysia melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan selepas Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin menyempurnakan satu pukulan sudut penalti untuk mendahului 1-0 pada minit ke-34.

Sembilan minit kemudian, Syarman Mat Tee menggandakan jaringan menerusi satu lagi pukulan sudut penalti yang dirancang dengan baik.

Chile yang menjuarai Kejohanan Remaja Lelaki Seantero Amerika 2021 terlalu lambat bangkit dan mendapat gol sagu hati menerusi pukulan sudut penalti Sebastien Wolansky seminit sebelum permainan tamat.

Terdahulu, naib juara 2016 Belgium membenam Afrika Selatan 5-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A semalam.

Berdasarkan persembahan semalam, Malaysia sudah pasti akan diuji pada Jumaat (26 November) apabila berhadapan Belgium sebelum mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan bertemu Afrika Selatan sehari kemudian.

Belgium yang mengumpul tiga mata berada di tangga teratas kumpulan kerana perbezaan jaringan dengan Malaysia yang juga mengutip tiga mata berada di tempat kedua diikuti Chile dan Afrika Selatan.

-- BERNAMA