Urus Tadbir Baik Lahirkan Atlet Berkualiti

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/RTM Labuan

LABUAN, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Urus tadbir yang baik dalam sesebuah organisasi sukan bakal melahirkan barisan atlet yang berkualiti dan berjaya.

Menurut Pengerusi Majlis Sukan Labuan Rithuan Mohd Ismail, urus tadbir yang baik dalam sesebuah organisasi tanpa mengira organisasi besar atau kecil akan dapat memastikan kejayaan dalam mencapai matlamat dan hala tuju seperti yang dikehendaki.

“Begitu juga harapan kami di Majlis Sukan Labuan dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan untuk memastikan urus tadbir persatuan sukan di Labuan khususnya berada dalam tahap yang terbaik,” katanya semasa merasmikan Kursus Pengurusan Sukan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2021 di sebuah hotel, di sini pagi tadi.

Antara wakil persatuan sukan yang menyertai Kursus Pengurusan Sukan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2021. Antara wakil persatuan sukan yang menyertai Kursus Pengurusan Sukan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2021.



Katanya lagi, para peserta kursus tersebut diharap dapat meningkatkan mutu urus tadbir masing-masing sekali gus dapat menjalankan kerja-kerja pengurusan lebih cemerlang dan cekap bagi melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti.

“Kursus ini diharap bakal memberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan pengurusan sukan, meningkatkan kemahiran dalam pentadbiran dan pengurusan serta meningkatkan profesionalisme dan kepimpinan pegawai badan sukan.

“Besarlah harapan saya agar Kursus Pengurusan Sukan Wilayah Persekutuan Peringkat Labuan ini bakal memberi pengetahuan dan kemahiran yang baru yang mana ia boleh diguna pakai dalam matlamat utama kita melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti dan berjaya hingga ke peringkat dunia,” katanya lagi.

Dr. Hasnul Faizal semasa berkongsi mengenai Model Ekosistem Pembangunan Sukan Wilayah Persekutuan. Dr. Hasnul Faizal semasa berkongsi mengenai Model Ekosistem Pembangunan Sukan Wilayah Persekutuan.



Tambahnya, kursus yang dihadiri lebih 50 wakil daripada pelbagai persatuan sukan membariskan pembentang berpengalaman luas yang dibawa dari Kuala Lumpur dan Selangor untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan dalam bidang masing-masing.

“Antara pembentang yang terlibat adalah Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Dr. Siti Aishah Wahab, Pensyarah Kanan Fakuti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam Dr. Azlina Zid dan Pensyarah Kanan Centre for Sport & Exercise Science Universiti Malaya (UM) Prof. Dr. Mohd Salleh Aman,” katanya lagi.

-RI