Munsyi Muda Bahasa untuk Perkasa Penggunaan Bahasa Melayu

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 1 Dis (Malaysiaaktif) - Setiap kementerian diminta melantik Munsyi Muda Bahasa bagi memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata perkara tersebut telah dinyatakan dalam satu pekeliling yang dikeluarkan tahun lepas khusus untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi dalam perkhidmatan awam.

“Perkhidmatan awam memang kita dah keluarkan pekeliling tahun lepas, pekeliling adalah untuk pastikan supaya Bahasa Melayu diperkasakan di kementerian," katanya kepada pemberita selepas perasmian Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur hari ini.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 yang ditandatangani Mohd Khairul Adib menyatakan setiap ketua jabatan bertanggungjawab memastikan setiap urusan rasmi dalam pentadbiran kerajaan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan.

Pekeliling itu turut memaklumkan peranan agensi kerajaan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan hendaklah dimantapkan melalui inisiatif pelantikan Munsyi Muda Bahasa dan pelaksanaan program Audit Bahasa Melayu.

Pada 28 November lepas, Perdana Menteri menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan Bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Sehubungan itu, Ismail Sabri meminta supaya Bahasa Melayu digunakan dalam program yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairul Adib berkata setiap ketua jabatan perlu memastikan penjawat awam yang bertugas secara terus dengan orang ramai telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

"Kita telah syaratkan semua penjawat awam untuk divaksininasi… kalau ada yang belum divaksin, ketua jabatan akan uruskan dengan cara tersendiri,” katanya.

JPA dalam pekeliling yang dikeluarkan sebelum ini mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin COVID-19 dan perlu melengkapkan imunisasi sebelum 1 November, atau mereka boleh berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

-- BERNAMA