Kes Baharu Naik kepada 5,439 Kes, Jumlah Kumulatif 2,638,221 Kes

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 2 Dis (Malaysiaaktif) - Kes baharu COVID-19 naik kepada 5,439 semalam berbanding 4,879 kelmarin menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu dalam negara kini berjumlah 2,638,221 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu yang direkodkan itu 5,418 merupakan kes jangkitan tempatan melibatkan 5,229 warganegara, manakala 21 kes import membabitkan 15 warganegara.

"Daripada 5,439 kes harian yang dilaporkan pada hari ini (Rabu) 105 kes adalah kategori tiga, empat, dan lima; dan 5,334 kes lagi adalah kategori satu dan dua," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi COVID-19 semalam.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit COVID-19 yang tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala kategori tiga, empat dan lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh pula mencatat 6,803 kes menjadikan keseluruhan kes yang telah pulih adalah 2,544,007.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata 400 kes disahkan pesakit COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 161 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak enam lagi kluster baharu dikesan semalam, dan ketika ini 226 kluster masih aktif di seluruh negara.

Beliau berkata nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) Malaysia adalah kekal 0.95 seperti dilaporkan pada 29 November setakat kelmarin.

Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-- BERNAMA