100 Hari Pertama Pemangkin Penyediaan Perkhidmatan Terbaik Buat Rakyat

Foto: RTM

PUTRAJAYA, 2 Dis (Malaysiaaktif) - Tempoh 100 hari pertama bagi setiap kementerian di bawah pentadbiran semasa perlu dijadikan pemangkin dalam menyediakan perkhidmatan terbaik buat rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan mempunyai tempoh yang panjang serta tugas yang banyak walaupun setiap kementerian memberikan satu tumpuan khusus tentang 100 hari pertama mereka.

Beliau berkata tempoh 100 hari pertama itu bukan penanda aras akhir tetapi adalah satu permulaan baharu dalam melahirkan sebuah kerajaan yang berprestasi tinggi.

“Saya harap rakyat tidak tersasar dengan melihat 100 hari itu sebagai ‘ultimate’ (muktamad). Sebenarnya ia adalah titik permulaan sahaja. Matlamat akhirnya adalah berpanjangan.

“Anggapkan aspirasi 100 hari itu adalah aspirasi bagaimana kita mulakan langkah-langkah pentadbiran baru di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia KKMM terbitan RTM pagi ini.

Annuar berkata tempoh 100 hari yang ditetapkan Perdana Menteri itu turut melambangkan keseriusan kepimpinannya bagi memastikan kerajaan baharu ini mencapai aspirasi terutama dalam membentuk Keluarga Malaysia.

Beliau berkata untuk itu, tempoh 100 hari itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Annuar berkata meskipun tempoh 100 hari pertama itu adalah pendek untuk dijadikan sebagai kayu ukur, namun setiap kementerian telah cuba menyelesaikan perkara yang tertunda yang menjadi perhatian utama rakyat.

-- BERNAMA