MPPWP Labuan, Persatuan Media Bekerjasama Anjur Kursus Asas Kewartawanan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan dengan kerjasama Persatuan Penggiat Media Labuan bekerjasama melaksanakan Kursus Asas Kewartawanan kepada komuniti.

Menurut Presiden Persatuan Penggiat Media Labuan Jainudin Djimin, kursus itu bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai asas bidang kewartawanan dan penulisan.

“Seperti yang kita ketahui pelbagai agensi atau organisasi pada masa kini mempunyai platform media sosial masing-masing, oleh itu kursus pada hari ini boleh membantu mereka melaporkan sebarang maklumat yang penting dengan kaedah penulisan yang lebih baik serta tersusun agar ianya lebih menarik untuk dibaca.

Jainudin (paling kiri), Dzulfaizal (tengah), Ab Rasil (paling kanan) sempat turut serta dalam sesi kursus. Jainudin (paling kiri), Dzulfaizal (tengah), Ab Rasil (kanan) turut serta dalam sesi kursus ini.



“Kursus ini juga boleh memberi pendedahan kepada peserta mengenai etika penulisan untuk mengelakkan daripada mengeluarkan berita yang tidak sahih atau mengelirukan pembaca,” katanya semasa ditemui pada program itu yang dilaksanakan di Bangunan Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Labuan, di sini semalam.

Tambahnya, penganjuran kursus tersebut adalah sebahagian sumbangan Persatuan Penggiat Media Labuan kepada masyarakat di sini.

“Kami mahu menjadikan persatuan ini sebagai persatuan yang berperanan menyumbang kembali kepada komuniti di sini, dengan kepakaran yang kami ada kami ingin menjadi sebahagian agen perubahan bagi menjadikan komuniti Labuan lebih berilmu terutama dalam bidang penulisan.

Para peserta bergambar kenangan bersama para tetamu jemputan. Para peserta bergambar kenangan bersama para tetamu jemputan.



“Kami akan meneruskan kerjasama dengan MPP Labuan untuk menganjurkan program-program lain yang dirasakan mampu memberi impak positif kepada Labuan serta penduduknya,” jelasnya.

Para peserta kursus tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, wakil MPPWP Sub Zon, pertubuhan belia dan pelajar sekolah.

Majlis penyampaian sijil penyertaan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Ab Rasil Hajatil sambil disaksikan Pengerusi MPPWP Zon Labuan Mohd Dzulfaizal Ab Manan.

-RI