KPDNHEP Labuan Kerjasama dengan MAFI untuk Jualan Keluarga Malaysia akan Datang

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan merancang kerjasama dengan agensi-agensi bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang ada di Labuan untuk pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia pada siri akan datang.

Menurut Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, antara agensi tersebut adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), serta pihak pemain industri seperti pasar raya besar atau pasar raya.

“Inisiatif yang bermula pada 4 Disember 2021 di seluruh negara diharap memberi manfaat dan dapat dinikmati oleh setiap peringkat Keluarga Malaysia khususnya di pulau ini.

“Kerajaan mengalu-alukan agar lebih banyak pihak industri akan tampil bersama-sama dalam Program Jualan Keluarga Malaysia di lokasi- lokasi lain pada siri akan datang,” katanya yang ditemui semasa membuat tinjauan pada program itu di sebuah pasar raya, di sini pagi tadi.

Bashir (kanan) melihat harga ayam yang lebih murah dalam Jualan Keluarga Malaysia. Bashir (kanan) melihat harga ayam yang lebih murah dalam Jualan Keluarga Malaysia.



Tambahnya, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya pengguna dari kalangan berpendapatan rendah.

“Program Jualan Keluarga Malaysia menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

“Antara barangan keperluan yang terlibat dengan program ini termasuklah ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan proses," jelasnya.

Jelas beliau lagi, kerajaan turut memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara berada pada tahap mencukupi dan pengguna dinasihatkan untuk tidak membuat pembelian panik.

Bashir (paling kiri) sempat beramah mesra dengan warga Labuan yang membeli belah barangan keperluan. Bashir (paling kiri) sempat beramah mesra dengan warga Labuan yang membeli belah barangan keperluan.



“Pejabat KPDNHEP Labuan akan terus menggerakkan anggota penguatkuasa bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti pencatutan harga dan peniaga kekal menjalankan perniagaan secara beretika.

“Kerajaan turut berterima kasih kepada pemain industri dan peniaga yang menunjukkan keprihatinan dengan tidak menaikkan harga barangan pengguna walaupun dalam situasi kenaikan harga komoditi utama dunia pada masa ini,” jelasnya lagi.

-RI