Penduduk Akur Arahan Berpindah, Redha Dengan Ujian Banjir

Laporan/foto: Fadillah Abdul Latif (Muar) 

MUAR, 11 Jan (Malaysiaaktif) - 11 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di daerah ini sehingga 10 Januari 2022 dan setakat hari ini hanya tinggal sepuluh buah sahaja yang masih aktif.

PPS Dewan Semai Bakti Felda Moakil telah ditutup secara rasmi pada 5 Januari yang lalu.

Menurut Zainab Manan,65, sepanjang 40 tahun beliau menetap di Kampung Jawa, ini merupakan kali keempat banjir berlaku di kawasan ini namun yang paling teruk adalah pada tahun 2006.

“Selesai solat Jumaat, pasukan penyelamat telah hadir ke kampung dan menasihati para penduduk agar bersedia untuk berpindah kerana paras air yang semakin meningkat.

“PPS yang dibuka dikendalikan dengan teratur dan segala kemudahan yang disediakan untuk keperluan mangsa-mangsa banjir lengkap dan sangat selesa," katanya ketika ditemui di PPS Kompleks Sukan Pagoh, di sini, semalam.

Tambah beliau, para petugas juga sangat cekap dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

Salah seorang mangsa banjir, Latifah Ahmad,65, yang ditemui memaklumkan semasa beliau dan keluarga berpindah keluar ke PPS, air telah mula mencapai paras lutut.

“Paras air mendadak naik dengan cepat, saya dan keluarga akur dengan nasihat dari pasukan penyelamat agar kami segera berpindah ke PPS yang disediakan demi keselamatan semua.

"Saya redha dengan ujian ini dan berharap boleh kembali balik ke rumah dalam masa terdekat ini bagi melihat keadaan terkini dan membersihkan rumah dan persekitaran yang terjejas akibat banjir," ujarnya.

PPS Kompleks Sukan Pagoh telah mula beroperasi pada 7 Januari 2022 yang menempatkan 30 buah keluarga terdiri daripada 82 orang penghuni.

Sepanjang tempoh empat hari tiga malam di PPS, mereka telah menerima lawatan daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang turut mencemar duli melawat ke PPS ini.

Selain itu, Menteri Besar Datul Hasni Mohamad dan juga penyanyi terkenal Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search juga turut hadir memberi sokongan dan menyerahkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir.

-NI-