Tahun 2022 Menjadi Pemacu Utama Kerajaan Negeri Melaka

Laporan/foto : Muhammad Fandy Azam / Nurfariza Farnoh (Melaka Tengah)

MELAKA, 11 Jan (Malaysiaaktif) – “Kecekapan Pelaksanaan Demi Kemakmuran Rakyat Negeri Melaka merupakan intipati dan objektif utama Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali dalam ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Ketua Menteri Melaka bertempat di Auditorium Seri Negeri disini, semalam.

Majlis ini telah menghimpunkan Ketua – Ketua Jabatan yang telah menyaksikan pelbagai amanat dan cabaran baru tahun 2022 yang harus dilaksanakan kerajaan Negeri Melaka dan juga telah dipertontonkan tayangan montaj Imbasan Program Kerajaan Negeri sepanjang tahun 2021 bukan sahaja di auditorium malah secara maya melalui media sosial rasmi Facebook Kerajaan Negeri Melaka serta aplikasi google meet.

Dalam ucapan beliau turut menyatakan perkara utama adalah berpandukan Kecekapan Pelaksanaan melalui aspek Pemantauan telah meliputi program – program peningkatan sosioekonomi rakyat, pengurusan pandemik COVID 19, pengurusan bencana dan sebagainya yang turut dibentangkan dalam bajet 2022 Kerajaan Negeri Melaka pada 27 Disember tahun lalu serta aspek Pemulihan Ekonomi dan Pencapaian Prestasi seperti Petunjuk Prestasi Utama atau KPI serta Sasaran Kerangka Kerja.

“ Kerajaan Negeri Melaka sentiasa melakukan yang terbaik kepada rakyat Melaka dalam melakukan pelbagai pelan dan inisiatif jangka pendek dan panjang dalam memastikan keselesaan serta kemudahan dapat dikecapi masyarakat malah perkara – perkara ini telah dibukukan seperti kerangka halatuju Melaka Rumahku, Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035, Pelan Smartcity dan Transformasi Sejahtera 2035 atau TS35 yang kesemuanya bertujuan untuk kesejahteraan rakyat serta kemakmuran Melaka.

Dalam konteks yang lain, Kecekapan Pelaksanaan Perkhidmatan Awam Negeri Melaka akan terus mengekalkan momentum supaya tahun 2022 ini segala pelan dan perancangan akan lebih inklusi serta mempunyai nilai kreatif dan inovatif dan berharap 5 Kecekapan Pelaksanaan ini perlu dijadikan asas dalam menjadikannya satu impian yang harus direalisasikan kelak,” tambah beliau.

Majlis ini turut diserikan dengan Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan Negeri Melaka Tahun 2022 serta Buku Mewajah Melaka Menggamit Dunia : 12 Ucapan Sulaiman Md Ali yang telah disaksikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Zaidi Johari.

-FF