Isu Pelarian Rohingya, Wisma Putra Fokus Aspek Pendidikan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 13 Jan (Malaysiaaktif) - Kementerian Luar (Wisma Putra) memberi penekanan kepada aspek pendidikan dalam membantu mencari penyelesaian bagi isu pelarian Rohingya di negara ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

"Pendidikan sangat penting bagi mengelakkan mereka terbabit dalam masalah sosial atau jenayah di sini, selain memudahkan mereka dipilih oleh negara ketiga," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2022 kementerian, di sini semalam.

Sebahagian besar mereka memang tak berniat untuk menetap di Malaysia.

"Mereka jadikan Malaysia sebagai tempat persinggahan dan mengharapkan diterima oleh negara ketiga, tetapi negara ketiga pun pilih dan salah satu kriteria ialah mereka itu ada sedikit sebanyak pendidikan," kata beliau.

Saifuddin berkata Wisma Putra sedang melihat kaedah untuk memperkasa dan menambah dana kepada sekolah pelarian yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan anak-anak pelarian Rohingya di negara ini tidak tercicir daripada pendidikan.

"Dana bukan daripada rakyat atau kerajaan, tetapi dana yang boleh dicari daripada sumber luar contohnya antara yang banyak bagi dana adalah Yayasan Qatar," katanya.

Selain itu, katanya, isu pelarian Rohingya di negara ini perlu ditangani secara menyeluruh dan kolektif oleh agensi dan kementerian berkaitan.

Wisma Putra sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) serta agensi lain membabitkan isu Rohingya di negara ini.

"Ingin saya ingatkan bahawa Malaysia bukan signatory (penandatangan) kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tetapi kita mainkan peranan seolah-olah kita signatory," katanya.

Isu pelarian Rohingya sekali lagi dibangkitkan baru-baru ini selepas satu klip video seorang kanak-kanak Rohingya memarahi orang ramai yang tidak memberi wang sedekah kepadanya tular di media sosial.

Sebelum itu, seorang pelarian Rohingya Abd Hamim Ab Hamid, 33, yang dikenali sebagai Long Tiger, dilaporkan meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu. Lelaki itu kemudiannya berjaya diberkas pada 28 Disember.

-- BERNAMA