Purata Harga MSM Diunjur Cecah RM3,800 Satu Tan Tahun Ini

PUTRAJAYA, 13 Jan (Malaysiaaktif) - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah paras purata RM3,800 satu tan pada 2022 berikutan pengeluaran minyak sawit yang bertambah baik, sejajar dengan prestasi minyak sayuran utama lain yang mencatat pemulihan pengeluaran dan stok, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pengeluaran MSM dijangka meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 19 juta pada 2022 berbanding 18.12 juta tan pada 2021 manakala stok simpanan diunjur menokok 23.4 peratus kepada 1.95 juta tan daripada 1.58 juta tan pada tahun lepas.

"Kami menjangkakan eksport meningkat 9.3 peratus kepada 17 juta tan pada tahun ini berbanding 15.56 juta tan sebelum ini,” katanya pada sesi pembentangan Seminar Tinjauan dan Prospek Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2022 anjuran MPOB hari ini.

Ahmad Parveez berkata potensi industri minyak sawit Malaysia dijangka bertambah cerah pada 2022 dengan semua petunjuk utama industri disasarkan mencatat prestasi lebih baik.

Bagaimanapun, hasil eksport dijangka susut kepada RM95 bilion berbanding RM106.50 bilion.

Menurutnya, industri tersebut mencatat prestasi bercampur-campur pada 2021 apabila pengeluaran MSM yang lebih perlahan telah menjejaskan kapasiti eksport komoditi itu serta produk berasaskan sawit lain biarpun mendapat permintaan stabil dari negara pengimport.

-- BERNAMA