RM1 Juta Disalurkan kepada 500 KIR Bantu Pemulihan Pasca Banjir

Laporan/foto: Nur Hafif Zainurdin (Hulu Langat)

HULU LANGAT, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Sebanyak RM1 juta disalurkan kepada seramai 500 orang ketua isi rumah (KIR) yang terlibat dengan bencana banjir besar baru-baru ini bagi membantu proses pemulihan dan pembaikan pasca banjir.

Ketua Kampung Sungai Tekali, Amran Ahmad, memaklumkan setiap penerima menerima wang tunai RM 1,000 sumbangan kerajaan negeri melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan juga RM 1,000 sumbangan kerajaan pusat melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI).

“Ini merupakan sesi penyampaian kedua sumbangan selepas sesi pertama dijalankan pada hari Sabtu lalu di mana penerima yang tidak berkesempatan hadir pada sesi pertama yang lalu dipanggil semula pada sesi kedua ini.

Amran Ahmad menerima sumbangan mewakili penduduk kampung. Amran Ahmad menerima sumbangan mewakili penduduk kampung.



“Bagi memudahkan urusan penerima, ketua kampung atau wakil komuniti boleh mengambil sumbangan tersebut bagi pihak mereka dengan syarat wakil tersebut perlu membawa surat jemputan dan salinan kad pengenalan penerima,” katanya ketika mengambil sumbangan mewakili lapan ketua isi rumah di kampungnya bagi pihak mereka di Dewan Dato Nazir, Batu 14, di sini kelmarin.

Seorang suri rumah, Norhafisha Isa, 27, memaklumkan bahawa sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu dia sekeluarga untuk membeli barangan dan peralatan rumah yang rosak.

"Banjir yang berlaku tempoh hari menenggelamkan bahagian belakang rumah saya, di mana di situ terdapat sebuah bilik tidur dan dapur, jadi kebanyakan peralatan dapur dan kelengkapan bilik musnah.

Amran Ahmad menerima sumbangan mewakili penduduk kampung. Norhafisha menunjukkan sampul sumbangan bencana.



“Saya sangat menghargai bantuan yang telah diberikan untuk membantu kami bangkit semula daripada bencana.

"Kereta kami turut ditenggelami air dan sedang dibaiki, namun saya berharap agar kereta tersebut dapat digunakan secepat mungkin bagi memudahkan pergerakan suami ke pejabat terutamanya ketika cuaca buruk seperti hujan," ujar ibu kepada seorang anak itu.

-RI