Amalan Perubatan Perlu Kekal Berlandaskan Budaya

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Amalan perubatan perlu kekal berlandaskan budaya walaupun perkembangan pesat penemuan perubatan terkini dan pembangunan terapi serta intervensi inovatif, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) dalam titah diraja sempena Persidangan Pendidikan Perubatan Asia Pasifik (APMEC) 2022 yang diadakan secara maya hari ini, bertitah pengamal perubatan profesional dan penjagaan kesihatan perlu sentiasa peka bahawa setiap pesakit yang mereka rawat adalah sebahagian daripada komuniti.

“Malaysia yang kaya dengan sejarah dan masih berpegang kuat kepada budaya, terutama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, dapat mengamalkan tradisi dan kepercayaan mereka bersama jiran tetangga.

“Semangat ini telah diterjemahkan kepada komuniti pendidikan perubatan Malaysia, iaitu penghormatan dan kepercayaan kepada individu melebihi segala-galanya, diutamakan,” titah baginda pada persidangan itu yang bertemakan Our Heritage, Our Strength: Future Proofing Healthcare Professionals.

APMEC 2022 diadakan dari 12-16 Jan anjuran bersama UM dan National University of Singapore (NUS).

Sultan Nazrin bertitah pandemik COVID-19 telah menyerlahkan sejauh mana budaya dan tingkah laku boleh mempengaruhi hasil perubatan dan pengamal perubatan mesti belajar daripada pengalaman berbeza ini.

“Walaupun virus COVID-19 telah menyebabkan kematian dan kemusnahan di seluruh dunia, kesannya juga sangat berbeza. Ini dapat dilihat antara negara yang berbeza, dalam kalangan populasi dan sebahagiannya oleh faktor budaya dan tingkah laku,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah memandangkan sebahagian besar tugas pendidik perubatan terletak pada perkembangan pengamal perubatan dan profesional kesihatan generasi akan datang, adalah perlu untuk mempertimbangkan nilai-nilai murni yang telah melampaui zaman ketika mereka melihat ke masa depan.

Baginda bertitah pendidikan perubatan telah berkembang dengan pesat daripada program berpusatkan tenaga pengajar dan berfokuskan kandungan pada masa lalu, ke arah pendekatan yang mengutamakan perkembangan pengamal perubatan yang empati serta mahir.

Sultan Nazrin bertitah ia dapat diperluaskan untuk memupuk sifat-sifat seperti kebolehsesuaian dan daya tahan dan dengan berbuat sedemikian, penyedia pendidikan perubatan dapat membantu memastikan semua pesakit dirawat dengan penuh hormat dan bermaruah serta menawarkan penjagaan kesihatan yang paling sesuai dan berkesan.

-- BERNAMA