TLDM Penuhi 100 Peratus Keperluan Operasi

PUTRAJAYA, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memenuhi 100 peratus keperluan operasinya sepanjang tahun 2021, kata Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Beliau berkata operasi berkenaan merangkumi tujuh operasi rutin, tiga operasi berkala di armada barat dan armada timur serta operasi benteng di bawah kendalian Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF).

"Pencapaian ini membuktikan armada TLDM sentiasa siap siaga dan mampu memenuhi setiap tugasan yang diberikan.

"Walau bagaimanapun, secara purata, kesiagaan aset TLDM masih berada pada tahap yang memuaskan sahaja dan belum mencapai sasaran yang telah ditetapkan," katanya dalam perutusan tahun baharu hari ini.

Mohd Reza berkata masih terdapat banyak ruang dan usaha yang perlu dipertingkat bagi memastikan kesiagaan aset TLDM mampu mencapai ke tahap yang terbaik.

Mohd Reza berkata untuk memastikan aset TLDM yang berdaya tahan atau sustainable serta berkemampuan untuk memenuhi keperluan operasi, beberapa program pembaikan telah dirancang dan dilaksanakan sepanjang tahun lepas.

"Antaranya program Repowering telah dilaksanakan ke atas lima buah kapal dan tiga bot tempur dan pelaksanaannya berjaya meningkatkan keupayaan kuasa gerak aset tersebut ke tahap yang jauh lebih baik.

"Selain itu, pelaksanaan Obsolescence Program (OP) ke atas Kapal Diraja (KD) Perkasa telah bermula pada 4 Ogos tahun lepas dan dijangka siap pada 31 Mei 2022. Program OP ini seterusnya dirancang untuk dilaksanakan ke atas KD Perdana dan KD Ganyang pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata kesemua program itu bukan sahaja dapat meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi armada, malah menjadi inisiatif berkesan dalam menyokong langkah penjimatan sumber kewangan negara.

Katanya TLDM turut menerima enam buah Fast Combat Boat (FCB) dan juga tiga bot serba guna.

Mohd Reza berkata perolehan aset-aset ini secara tidak langsung meningkatkan keupayaan TLDM, khususnya terhadap platform pemintas yang amat diperlukan dalam melaksanakan Op Benteng bagi mengawal sempadan perairan negara.

"Dalam pada itu, TLDM bakal menerima beberapa lagi aset baharu antaranya tiga Helikopter Operasi Maritim (HOM) pada pertengahan tahun ini. Alhamdulillah, perkembangan terkini projek HOM ini amat positif iaitu kesemua helikopter telah berada pada fasa akhir pembinaan.

"Selain itu, TLDM juga bakal terima lima bot jenis Divers RHIB secara berperingkat pada tahun ini, dengan adanya aset-aset ini ia diharap akan dapat meningkatkan lagi keupayaan TLDM bagi memenuhi keperluan operasi, khususnya operasi menyelam," katanya.

Beliau berkata TLDM akan meneruskan kelangsungan pembangunan armada TLDM yang sesuai dengan perancangan program Transformasi TLDM 15 to 5.

"Bagi menentukan kesinambungan Transformasi TLDM diteruskan, beberapa projek dirancang (untuk) dilaksanakan pada tahun ini, antaranya perolehan 13 buah FCB, perolehan kelengkapan subsistem persenjataan antipermukaan dan antikapal selam dan penggantian pelbagai kenderaan TLDM,” katanya.

-- BERNAMA