11,000 Guru Tabika Kemas Bakal Dinaik Taraf daripada Lulusan Diploma kepada Ijazah Sarjana Muda

PUTRAJAYA, 14 Jan (Malaysiaaktif) - Kira-kira 11,000 guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bakal dinaik taraf daripada lulusan diploma kepada ijazah sarjana muda, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pelaksanaan naik taraf guru itu yang bakal memberi lonjakan terhadap pendidikan di Tabika Kemas, akan dibuat secara berperingkat dan ia sedang diselaraskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dari aspek kewangan dan perjawatan.

“Sekarang ini, silibus Tabika Kemas dan Kementerian Pendidikan sama, cuma guru yang ada di Kemas ada yang kelulusan diploma. Oleh demikian, kami mahu tingkatkan kelulusan tenaga pengajar daripada diploma kepada ijazah,” katanya.

“(Kelulusan) guru di Tabika Kemas akan ditingkatkan… bukan kita buang mereka tetapi guru yang ada boleh ambil ijazah sarjana muda,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB di sini, hari ini.

Pada 5 November tahun lepas, Mahdzir berkata perjawatan baharu bagi pendidik masyarakat tabika Kemas pada masa depan perlu memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan profesionalisme warga pendidik masyarakat dan menjamin kualiti pendidikan awal kanak-kanak seiring dengan peredaran masa serta kepesatan teknologi.

-- BERNAMA