Kes Baharu Menurun kepada 3,346 Kes

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 15 Jan (Malaysiaaktif) - Kes baharu COVID-19 menurun kepada 3,346 kes semalam berbanding 3,684 kelmarin, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,802,263.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes sembuh pula adalah sebanyak 3,052 kes, menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,729,943 kes.

“Daripada 3,346 kes harian dilaporkan hari ini (Jumaat), 3,297 kes (98.5 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua manakala 49 kes (1.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 204 kes manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 95 kes,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata tiga kluster baharu turut dikenal pasti menjadikan jumlah kluster masih aktif setakat ini sebanyak 172, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 1.00 kelmarin.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kes positif COVID-19 baharu direkodkan dalam kalangan mangsa banjir semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes positif dalam golongan itu meningkat kepada 471 kes.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan turut mengesan satu kes penyakit berjangkit melibatkan mangsa bencana tersebut iaitu penyakit kulit.

"Jumlah kluster COVID-19 di pusat pemindahan sementara kekal satu kluster dan tiada pertambahan kluster baharu hari ini (Jumaat),” katanya.

-- BERNAMA