Thaipusam: MPS Tidak Benarkan Aktiviti Penjaja

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 15 Jan (Malaysiaaktif) - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak membenarkan sebarang aktiviti penjaja di sekitar kawasan luar Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves sempena sambutan Thaipusam pada 18 Januari ini.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad, berkata pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang permit untuk petak-petak niaga Thaipusam yang menjual makanan dan minuman seperti tahun-tahun sebelum ini.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Penjaja yang didapati menjalankan aktiviti tanpa permit akan dikenakan tindakan di bawah Undang-undang 3 Penjaja (MPS) 2007," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan MPS telah membuat persediaan untuk membantu memastikan aspek kebersihan sepanjang perayaan tersebut berlangsung.

"Sebanyak tujuh unit tong sampah 'Roll On Roll Off' (RORO) telah pun diletakkan di kawasan-kawasan 'hotspot' selain 26 unit tong sampah bagi urusan pembersihan," jelasnya.

Katanya, MPS mengingatkan pengunjung untuk mematuhi SOP sambutan perayaan Thaipusam yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

-RI