Trash to Cash Beri Manfaat kepada Warga PMM dan Komuniti Pantai Siring

Laporan/foto: Suziee Sukarti (PMM)

JASIN, 19 Jan (Malaysiaaktif) - Politeknik Merlimau (PMM) menerusi Pusat Pelancongan dan Hospitaliti (CeTraH) mejayakan program tanggungjawab sosial ‘Kutip Sampah Sambil Riadah’ (KUDAH) dan Trash to Cash bersama-sama Komuniti Pantai Siring anjuran bersama Majlis Pembandaran Jasin (MPJ) yang melibatkan seramai 77 warga kerjanya.

Menurut Pengurus CeTrah PMM Surina Nordin, program tersebut amatlah digalakkan untuk memberi kesedaran betapa pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya laut di Melaka supaya ia akan menjadi daya tarikan pelancong di negeri tersebut khususnya.

“Program ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kesedaran sivik terhadap para pelajar dalam menjaga kebersihan alam sekitar di samping dapat beriadah serta dapat memberi pendedahan yang luas terhadap kepentingan menjaga dan seterusnya mengubah imej pantai di negeri ini.

“Bagi saya, jika kita sukar untuk mengubah dunia, ubahlah diri kita sendiri untuk lebih menghargai laut dan pantai kita kerana ia berpotensi sebagai pusat pelancongan dan salah satu sumber ekonomi negeri Melaka,” katanya yang ditemui sempena program di Pantai Siring, di sini kelmarin.

Antara warga kerja PMM yang menyertai Program KUDAH dan “Trash to Cash” di Pantai Siring. Antara warga kerja PMM yang menyertai Program KUDAH dan “Trash to Cash” di Pantai Siring.



Dalam program tersebut, peserta berjaya mengutip sampah dalam kuantiti yang banyak terdiri daripada botol plastik, ranting kayu, plastik makanan dan pelbagai lagi sekali gus dapat mencantikkan lagi Pantai Siring yang merupakan salah satu destinasi pelancongan negeri tersebut.

“Program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada PMM tetapi kepada Negeri Melaka.

“Program ini bukan sahaja dapat memberi pengalaman kepada warga PMM dalam menjalankan aktiviti khidmat masyarakat, tetapi menerapkan nilai membudayakan riadah dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam program sama, PMM turut mempromosikan kursus Penyedia Latihan Halal PMM yang diiktiraf oleh Majlis Profesional Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kursus Latihan Pengendali Makanan kepada para peserta terutamanya peniaga-peniaga makanan di pantai tersebut.

-RI