162 Kes Varian Omicron Dikesan Sejak 23 Januari

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 26 Jan (Malaysiaaktif) - Sebanyak 162 kes baharu varian Omicron dikesan sejak 23 Januari lepas hingga semalam oleh pelbagai institusi kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti 89 kes, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM) mengesan 71 kes manakala dua kes dikesan Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian yang dibimbangi (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 7,056 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 7,036 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI," katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat 6,188 kes varian Delta, 601 (Omicron), 233 (Beta) dan 14 (Alpha).

Menurutnya bagi kes VOI pula, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

Mengenai kes baharu COVID-19, Dr Noor Hisham berkata 4,066 kes dicatatkan semalam dengan 50 kes (1.2 peratus) daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,016 kes (98.8 peratus) lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Daripada 4,066 kes itu, 442 adalah kes import dan 3,624 pula adalah kes tempatan dengan 131 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 65 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata 13 kluster baharu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kluster aktif adalah 244 manakala kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) Malaysia kelmarin pula adalah 1.09.

-- BERNAMA