Permintaan Penumpang Bertambah Baik pada 2021

PUTRAJAYA, 26 Jan (Malaysiaaktif) - Keputusan trafik penumpang global untuk 2021 menunjukkan bahawa permintaan (hasil penumpang bagi setiap kilometer atau RPK) turun sebanyak 58.4 peratus berbanding tahun penuh 2019, iaitu peningkatan berbanding 2020, apabila RPK setahun penuh turun 65.8 peratus berbanding 2019.

“Permintaan perjalanan udara secara keseluruhan bertambah kukuh pada 2021. Trend itu berterusan hingga Disember walaupun terdapat sekatan perjalanan akibat varian Omicron, ia jelas menunjukkan kekuatan daripada sudut keyakinan penumpang dan keinginan untuk mengembara," kata Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Willie Walsh dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Tanpa varian Omicron, permintaan perjalanan udara antarabangsa untuk jangkaan bulan Disember adalah peningkatan kepada sekitar 56.5 peratus di bawah paras dicatatkan pada tahun 2019. Sebaliknya, volum meningkat sedikit kepada 58.4 peratus di bawah 2019 daripada -60.5 peratus pada November, katanya.

Beliau berkata cabaran untuk 2022 adalah untuk mengukuhkan keyakinan itu dengan mengaktifkan semula perjalanan udara.

Permintaan penumpang antarabangsa pada 2021 adalah 75.5 peratus di bawah paras 2019. Kapasiti, (diukur dalam kilometer tempat duduk tersedia atau ASK) merosot 65.3 peratus dan faktor muatan turun 24.0 mata peratusan kepada 58.0 peratus.

Permintaan domestik pada 2021 turun 28.2 peratus berbanding 2019. Kapasiti menguncup 19.2 peratus dan faktor muatan turun 9.3 mata peratusan kepada 74.3 peratus.

Bagi permintaan penumpang serantau, trafik antarabangsa setahun penuh syarikat penerbangan Asia Pasifik menjunam 93.2 peratus pada 2021 berbanding 2019, ia merupakan penurunan paling teruk bagi mana-mana rantau. Ia jatuh 87.5 peratus pada bulan Disember, lebih baik daripada penurunan 89.8 peratus direkodkan pada bulan November.

Kapasiti setahun penuh turun 84.9 peratus berbanding 2019. Faktor beban turun 44.3 mata peratusan kepada 36.5 peratus.

Mengenai pengangkutan udara global, IATA berkata pasaran menyaksikan permintaan setahun penuh untuk kargo udara meningkat sebanyak 6.9 peratus pada 2021 berbanding 2019 (paras sebelum penularan COVID-19) dan 18.7 peratus berbanding 2020 berikutan prestasi kukuh pada Disember 2021.

Ini merupakan peningkatan kedua terbesar dalam permintaan tahun ke tahun sejak IATA mula memantau prestasi kargo pada tahun 1990 (di sebalik kenaikan 20.6 peratus pada 2010), mengatasi kenaikan 9.8 peratus dalam perdagangan barangan global sebanyak 8.9 mata peratusan, katanya.

"Kargo udara berprestasi cemerlang pada 2021. Bagi kebanyakan syarikat penerbangan, ia menyediakan sumber pendapatan yang penting kerana permintaan penumpang kekal dalam keadaan lemah akibat sekatan perjalanan berikutan pandemik COVID-19."

“Bagaimanpun, peluang pertumbuhan tidak dapat dicapai disebabkan tekanan kekurangan tenaga kerja dan kekangan merentasi sistem logistik. Secara keseluruhan, keadaan ekonomi akan mengukuh pada 2022,” kata Walsh.

Bagaimanpun, kapasiti pada 2021 yang diukur dalam kargo tan kilometer tersedia (ACTK) adalah 10.9 peratus di bawah 2019 (12.8 peratus untuk operasi antarabangsa).

Kapasiti kekal dikekang dengan kesesakan di hab utama.

"Kekurangan kapasiti tersedia menyumbang kepada peningkatan hasil dan pendapatan, memberikan sokongan kepada syarikat penerbangan dan beberapa penumpang bagi perjalanan udara jarak jauh," katanya.

Bagi prestasi serantau, syarikat penerbangan Asia-Pasifik melaporkan peningkatan dalam permintaan antarabangsa sebanyak 3.6 peratus pada 2021 berbanding 2019 dan penurunan kapasiti antarabangsa sebanyak 17.1 peratus.

-- BERNAMA