Ikon Baharu Marang Bakal Siap 2025

Laporan/foto: RA Othman (Marang)/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

MARANG, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Jambatan Marang yang berusia 62 tahun bakal diberi nafas baharu apabila projek menaik taraf dan pembinaan semula bagi mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya di Daerah Marang bakal menjadi ikon baharu daerah ini yang akan memberi sinar pada penduduk setempat dan keseluruhan rakyat Negeri Terengganu.

Projek yang bernilai anggaran RM338.5 juta yang merentasi Sungai Marang terletak di Laluan Persekutuan 3 yang menghubungkan Kuala Terenganu dan Kuantan, Pahang juga dijangka memendekkan masa perjalanan pengguna jalan raya pada waktu puncak.

Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia, Datuk Sri Fadillah Yusof dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Jambatan Merentasi Sungai Marang di laluan FT003 Laluan Kuala Terenganu-Kuantan hari ini berkata, pembinaan semula jambatan Marang ini akan merancakkan dan menjana lebih banyak pembangunan ekonomi dan keadaan semasa di daerah ini.

Dr. Ahmad Samsuri (tengah) dan Fadillah (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jambatan Sungai Marang di Bandar Marang. Dr. Ahmad Samsuri (tengah) dan Fadillah (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jambatan Sungai Marang di Bandar Marang.



"Kita jangkakan dengan siapnya jambatan ini nanti, keadaan ekonomi dan kerancakan semula pembangunan setempat akan memberi lebih banyak faedah dan kebaikan kepada rakyat Negeri Terengganu khususnya penduduk di Marang," katanya.

Tambah beliau, masa perjalanan pada waktu puncak juga akan menjadi lebih singkat antara 10 hingga 20 minit daripada sebelum ini.

"Mengikut bancian lalu lintas 2020, sebanyak 31,387 purata laluan trafik harian di jambatan ini menjadikan jalan ini sangat sesak pada waktu puncak.

"Oleh itu, laluan baharu yang keseluruhan berukuran 2.5km dijangka boleh mengatasi masalah ini," katanya.

Ilustrasi jambatan yang merentasi Sungai Marang. Ilustrasi jambatan yang merentasi Sungai Marang.



Sementara itu Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berharap agar projek pembinaan ini akan berlangsung dengan jayanya mengikut perancangan asal dan siap untuk digunakan oleh rakyat negeri ini seperti dirancang.

Malahan beliau turut mementingkan faktor keselamatan penduduk yang perlu diambil kira sepanjang projek ini dilaksanakan.

“Keutamaan untuk menjaga keselamatan penduduk setempat serta keselesaan pengguna jalan raya sewaktu projek ini berlangsung amat-amat perlu dititikberatkan oleh kontraktor yang bertanggungjawab mengendalikan pembinaan ini dan saya berharap agar projek ini tidak memberi halangan kepada penduduk setempat nanti,” tambah beliau.

Projek berimpak tinggi pembinaan semula Jambatan Marang ini akan merangkumi empat lorong dan dua hala perjalanan mengikut piawaian R5 telah memulakan kerja-kerja pembinaan pada Disember 2021 yang lalu dan dijangka mengambil masa siap dan boleh digunakan sepenuhnya pada Oktober 2025.

-ZS-