Produk F&B Malaysia Akan Diedarkan di Kedai-kedai Utama di Jerman

PUTRAJAYA, 27 Jan (Malaysiaaktif) - Produk makanan dan minuman (F&B) Malaysia sedang dinilai untuk diedarkan ke kedai-kedai utama di Jerman, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Peningkatan Eksport), Sharimahton Mat Saleh berkata produk F&B dari negara ini sedang dipromosikan di Mal Asia, platform e-dagang yang baru dilancarkan, iaitu kedai dalam talian pertama yang diwujudkan khas untuk memasarkan produk makanan dan bukan makanan Malaysia terutamanya di Jerman, Austria dan Switzerland.

Pada masa ini, terdapat lebih 40 unit simpanan stok (SKU) produk Malaysia dari 20 syarikat telah disenaraikan di kedai dalam talian itu.

“Ini akan menjadi satu lagi kisah kejayaan besar bagi sektor F&B Malaysia. (Status) halal turut menawarkan prospek lebih luas bagi syarikat Malaysia untuk mendapat pembeli di sini yang sentiasa mencari F&B dan ramuan yang halal bagi menampung keperluan ramai penduduk Muslim yang menetap di Eropah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MATRADE, beberapa syarikat tempatan Malaysia telah berjaya memuktamadkan perbincangan dengan pasar raya Asia terkenal di Jerman, Go Asia yang mempunyai 31 cawangan di seluruh negara itu.

Sementara itu, sebanyak 23 SKU produk Malaysia yang dihasilkan oleh Ganda Kota Sdn Bhd, Doluvo Sdn Bhd dan Industri Makanan Jati Sdn Bhd telah terpilih untuk diedarkan oleh Go Asia.

Inisiatif ini bermula ketika penyertaan MATRADE dalam ANUGA, antara pameran perdagangan F&B terbesar di Eropah pada 9-13 Oktober, 2021 yang mana produk Malaysia menerima maklum balas positif daripada pengunjung, pengimport dan pengedar yang mencari produk makanan cita rasa Asia.

-- BERNAMA