Akaun Satelit Sukan Dibangunkan

Foto: KBS

PUTRAJAYA, 27 Jan (Malaysiaaktif) - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang membangunkan Akaun Satelit Sukan bagi menjadi pengukur sumbangan sebenar industri sukan kepada ekonomi negara, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Berucap pada Majlis Amanat Tahun 2022 kepada warga KBS di sini hari ini, beliau berkata Akaun Satelit Sukan dapat membekalkan data untuk memudahkan KBS membuat perancangan mengenai fokus pembangunan sukan dan konteks ekonomi.

"Dengan adanya Akaun Satelit Sukan, kita dapat buktikan kepada Kementerian Kewangan dan EPU (Unit Perancang Ekonomi) bahawa peruntukan yang disalurkan kepada kementerian bukan bersifat perbelanjaan satu hala sahaja, tetapi merupakan pelaburan dan memberi pulangan langsung kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan pembangunan ekonomi negara," katanya.

Ahmad Faizal berkata Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030), yang mengandungi enam teras utama iaitu pembudayaan sukan, kegemilangan sukan, pembangunan bakat, hab sukan, industri sukan dan profesionalisme sukan, kini dalam fasa semakan akhir untuk dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

VSN 2030 memetakan perancangan 10 tahun Malaysia dengan memperkasakan lagi polisi demi pembangunan industri sukan yang lebih komprehensif, bersepadu dan kolektif.

Menyentuh mengenai belia, Ahmad Faizal berkata KBS dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) sedang membangunkan Model Baharu Pembangunan Belia 2030 (MBPB2030), iaitu sebuah hala tuju pembangunan belia bagi tempoh 10 tahun.

Mengenai literasi politik dalam kalangan belia, beliau berkata tumpuan akan diberikan bagi memupuk semangat patriotisme, meningkatkan kesedaran mengenai politik dan Perlembagaan Persekutuan serta peranan legislatif dalam pentadbiran negara.

“Program berbentuk advokasi dalam usaha mengubah persepsi belia terhadap politik dan meningkatkan kesedaran mengenai peranan mereka dalam pembentukan negara perlu dilaksanakan,” katanya.

-- BERNAMA