Penyerahan Bangunan Masjid Alor Lintah

Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md. Nor (Besut)

BESUT, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Pegawai Agama Daerah Besut, Mohd Rusydi Mansor telah menerima serahan bangunan Masjid Alor Lintah daripada Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir. Yusuf Abd. Ghani di Pekarangan Masjid Alor Lintah, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir. Yusuf Abd. Ghani, berkata bangunan Masjid Alor Lintah ini telah dibina oleh kontraktor FBTechnique Sdn.Bhd menelan kos sebanyak RM 2.47 juta.

"Kapasiti masjid ini boleh menampung seramai 500 orang jemaah dalam satu masa telah siap sepenuhnya pada 23 Januari yang lalu," katanya.

Majlis Tandatangan Dokumen Penyerahan Masjid Alor Lintah oleh Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi (kiri) bersama Ir. Yusuf Abd. Ghani (kanan). Majlis Tandatangan Dokumen Penyerahan Masjid Alor Lintah oleh Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi (kiri) bersama Ir. Yusuf Abd. Ghani (kanan).



Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sekiranya berlaku kerosakan bangunan, tempoh aduan yang diberikan adalah selama satu tahun tiga bulan dan 14 hari yang bermula pada 23 Januari di bawah seliaan Jurutera Daerah Besut bersama kontraktor.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini menyeru para jemaah untuk bersama-sama menjaga dan memelihara bangunan masjid ini supaya mendapat manfaat bersama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu dalam ucapannya berkata, walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang telah dihadapi semasa proses pembinaan masjid ini, namun begitu, beliau amat bersyukur kerana dapat menyiapkan tanggungjawab yang telah diamanahkan demi kelangsungan penduduk setempat.

Penyerahan Replika Kunci Bangunan Masjid Alor Lintah daripada ADUN Jertih kepada Mohd Rusydi Mansor. Penyerahan Replika Kunci Bangunan Masjid Alor Lintah daripada ADUN Jertih kepada Mohd Rusydi Mansor.



Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kontraktor yang telah memberi kerjasama yang sepenuhnya dalam membina bangunan masjid ini dengan cepat dan baik.

Sesi tandatangan dokumen penyerahan dan serahan replika kunci tersebut turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof bersama Pegawai Penyelaras DUN Jertih, Wan Azhar Wan Ahmad.

-ZS-