350,000 Pelajar Akan Menerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia Mulai Jun 2022

Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 15 April (Malaysiaaktif) - Peranti bagi program PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan mula diagihkan Jun ini dijamin berkualiti tinggi dari jenama premium, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Musa.

Annuar berkata program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bakal memanfaatkan kira-kira 350,000 mahasiswa daripada keluarga B40 yang mengikuti pengajian seperti diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

“Saya jangkakan peranti yang dipilih adalah daripada jenama premium yang berada dalam pasaran,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia semalam.

Ia bagi membantu pelajar IPT menjalankan aktiviti pembelajaran secara dalam talian, melayari Internet untuk tujuan penyelidikan dan penghantaran mesej kepada keluarga dan rakan-rakan.

Sabtu lepas, Annuar memaklumkan permohonan program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi pelajar IPT daripada golongan B40 dibuka mulai hari ini (15 April). Permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://perantisiswa.kkmm.gov.my mulai 8 pagi.

-ZS-