Pemberian PerantiSiswa Diperluas kepada Pelajar Institusi Selain KPT

Laporan/foto: Zaidy Salim/Syarul Azis (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 26 April (Malaysiaaktif) - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan memperluas pemberian bantuan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar golongan B40 di institusi pendidikan selain daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

MenKOMM, Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Musa, berkata berdasarkan permohonan yang dibuka sejak 15 April lepas, terdapat permohonan daripada pelajar institusi di bawah kementerian lain.

Antara institusi berkenaan ialah Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan.

“Kita melihat untuk fasa pertama, kita akan berikan PerantiSiswa kepada pelajar B40 di bawah KPT iaitu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti manakala untuk fasa kedua, kita pertimbangkan untuk beri kepada institusi lain pula," katanya ketika di temui media pada Majlis Apresiasi Pengamal Media di sini semalam.

Menjelaskan mengenai jumlah pelajar yang dijangka menerima manfaat bantuan itu berbeza dengan angka yang diumum pada Belanjawan 2022 lepas, Annuar berkata jumlah asal 600,000 pelajar adalah anggaran bagi belanjawan tersebut.

Beliau berkata semakan dan perincian lanjut mendapati angka sebenar pelajar golongan B40 di KPT adalah lebih rendah, selain berpandangan peranti yang murah tidak sesuai untuk diberikan kepada pelajar.

-ZS-