Pagalungan Dijangka Jadi Kawasan Aktif

Laporan/foto: Mazlan Bakar (Sabah)

PAGALUNGAN, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur dijangka menjadikan Daerah Kecil Pagalungan sebagai kawasan yang aktif melalui pergerakan keluar masuk sempadan antarabangsa.

Menurut sejarah, nama Pagalungan diambil sempena pertemuan Kuala Sungai Logongan dan Kuala Sungai Tagol yang disebut ‘Pahalungan’ yang membawa maksud ‘Pertemuan Kuala Sungai’ dalam bahasa Murut.

Buat masa ini, laluan dan perhubungan utama kawasan ini adalah menggunakan perahu bagi meredah sungai atau kereta pacuan empat roda sekiranya menggunakan jalan darat.

Namun begitu, daerah berkenaan bakal mendapat impak positif melalui projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti pembinaan jalan raya Sapulut menuju ke Pagalungan dan Projek Menara Telekomunikasi.

Daerah Kecil Pagalungan terletak di kawasan pedalaman Sabah dan diwartakan sebagai Daerah Kecil Pada 1 Jun 2006.

-ZS-