Transformasi Komuniti Langkah Bangunkan Johol

Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara pihak Undang Luak Johol dan Yayasan Undang Johol dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung di Balai Undang Johol tengahari tadi.

Perjanjian ini sebagai salah satu usaha mentransformasikan puluhan ribu hektar tanah adat terbiar di wilayah Johol bersama UKM melalui ilmu dan kepakaran penyelidik-penyelidik dari pelbagai Fakulti menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UKM).

Menurut Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah, sekiranya usaha murni ini dapat diterjemahkan kepada realiti, ia dapat membantu memberi pulangan ekonomi dan menambah pendapatan keluarga. Khususnya bagi golongan sasar B40 supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan serta membuka peluang pekerjaan kepada seluruh masyarakat di sini.

“Besarlah harapan saya melalui kerjasama dengan UKM kali ini dapat menghasilkan inovasi baharu dalam membangunkan tanah tanah adat yang telah lama terbiar. Ia bukan sahaja boleh menjadi punca pendapatan baharu kepada penduduk, malahan akan menarik minat pelabur untuk datang ke luak ini, seterusnya mengurangkan penghijrahan penduduk ke bandar,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan.

-ZS-