MB Johor Umum Peruntukan Pembangunan Daerah Kluang

Laporan/foto: Nur Arinnica Arif/Norsaedah Haron (Kluang)

KLUANG, 12 Mei (Malaysiaaktif) - Daerah Kluang bakal menerima dana pembangunan berjumlah RM3.5 juta bagi projek naik taraf di beberapa kawasan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan pembangunan bagi Extreme Park adalah sebanyak RM1.5 juta, Dataran Paloh RM1.5 juta dan Pasar Awam Simpang Renggam sebanyak RM500,000.

Beliau berkata demikian di sini pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri sempena lawatan kerja ke Daerah Kluang pada hari ini.

Pada majlis yang sama juga beliau turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 325 orang penerima sumbangan daripada Pejabat Kadi Daerah Kluang, Majlis Agama Islam Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, juga cek contoh Bantuan Kasih Bangsa Johor berjumlah RM10,000  kepada lima Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Daerah Kluang secara ‘one off’.

-ZS-