Sambutan Muhibbah Raya Rapatkan Silaturrahim

Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Juriah Suleiman (Shah Alam)

KLANG, 13 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Muhibbah Raya anjuran Wisma Persekutuan Klang, di sini hari ini disifatkan sebagai medan merapatkan silaturrahim antara penjawat awam dan pihak swasta.

Pengerusi Wisma Persekutuan yang juga Pegawai Pertanian Daerah Klang, Ahmad Nazri Abdullah Zawawi, berkata majlis berkenaan merapatkan kembali ukhwah antara kakitangan jabatan dan agensi di daerah ini selepas dua tahun tiada sambutan akibat penularan COVID-19.

“Program hari ini sangat istimewa kerana setelah dua tahun tidak meraikan sambutan hari raya hari ini warga kerja di Wisma Persekutuan Klang dapat bersama-sama berkumpul dan mengenali antara satu sama lain,” katanya semasa ditemui pada Majlis Muhibbah Raya di Wisma Persekutuan Klang.

Seorang penjawat awam, Moganasuntari a/p Chandrasekaran, pula melahirkan rasa teruja kerana berkesempatan berkumpul dan mengenali antara satu sama lain disamping menikmati makanan tradisional.

Terdahulu, seramai lebih kurang 230 orang kakitangan daripada lapan agensi kerajaan dan tiga agensi swasta yang bertugas di Wisma Persekutuan Klang menjayakan Jamuan Muhibbah Raya.

-ZS-