Undi 18: Belia Teruja untuk Keluar Mengundi

Laporan/foto: Nurul Wahida Mohd Noor (Pulau Pinang)

PERMATANG PAUH, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 15 Disember lalu menimbulkan keterujaan kepada golongan belia.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut satu Program Taklimat Isu Semasa: Undi 18 telah diadakan di sini baru-baru ini sebagai langkah awal pendedahan dan gambaran bagaimana proses mengundi itu berlangsung.

Peserta program Muhamad Haziq, 18, teruja menyertai simulasi pilihan raya yang telah diadakan dan tidak sabar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama.

"Saya menyeru rakan-rakan belia yang lain untuk memainkan peranan dan bersedia dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Pulau Pinang, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Seberang Perai Tengah, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam dan Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah terlibat menjayakan simulasi tersebut.

-ZS-