Rakyat Berpeluang Nikmati Kemudahan Internet Lebih Baik - Annuar Musa

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 22 Jun (Malaysiaaktif) - Satelit MEASAT-3d akan dapat merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Satelit MEASAT-3d akan mengembangkan liputan Internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan supaya mencapai 100 peratus kesalinghubungan Internet, sekali gus membolehkan rakyat menikmati kemudahan Internet dengan lebih baik.

“Dengan akses Internet yang stabil dan pantas, Keluarga Malaysia boleh memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajaran digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia melalui syarikat MEASAT bakal melancarkan Satelit MEASAT-3d di French Guiana, Amerika Selatan pada pukul 6.03 petang 22 Jun (pukul 5.03 pagi 23 Jun waktu di Malaysia).

Satelit MEASAT-3d merupakan satelit kelapan yang akan dilancarkan bertujuan meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau.

Annuar berkata dengan pelancaran satelit itu, Malaysia juga dapat memperkukuhkan kehadirannya dalam era digital berteraskan kepada teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

Beliau berkata Malaysia beraspirasi menjadi sebuah negara berteknologi tinggi dan ini terbukti dengan pelancaran tujuh satelit sejak satelit pertama, MEASAT 1 dilancarkan pada 1996 yang merangkumi satelit komunikasi yang menawarkan perkhidmatan penyiaran dan telekomunikasi, satelit penderiaan jauh serta aplikasi satelit-satelit lain melibatkan sektor penyelidikan dan pembangunan industri teknologi angkasa.

Katanya dengan pelancaran MEASAT-3d, beberapa perkhidmatan baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos 2022.

Menurutnya penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit berkenaan untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar seperti yang ditawarkan MEASAT melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW.
Beliau berkata satelit MEASAT-3d yang merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

Katanya HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutamanya di kawasan pedalaman.

“Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 Mbps pada masa ini kepada 100 Mbps, yang membolehkan penstriman kandungan tinggi data seperti video 4K/8K,” katanya.

-- BERNAMA