Merah Meriah, PM Bersama Keluarga Malaysia 'Berjalan Teguh Bersama'

Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)/JaPen

PUTRAJAYA, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Lebih 15,000 orang Keluarga Malaysia membanjiri Dataran Putra dengan lautan warna merah mewarnai
Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pagi ini.

Sambutan kali ini diadakan secara meriah dengan berkonsepkan terbuka (outdoor) serta melibatkan penyertaan Keluarga Malaysia melalui program ‘Berjalan Teguh Bersama’, dan Konvoi Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM2022).

"Sejujurnya, saya amat-amat gembira dan tahniah kepada Keluarga Malaysia yang hadir bersama-sama pada pagi ini. Inilah kebersamaan kita sebagai keluarga yang besar di negara yang
majmuk ini.

“Terima kasih Keluarga Malaysia yang berjalan bersama saya sejauh 2.7 kilometer pada pagi ini,” kata Ismail Sabri.

Program ini disertai oleh MenKOMM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, serta Jemaah Menteri.

Selain itu, pelepasan Konvoi KKM2022 oleh YAB Perdana Menteri juga telah berlansung menandakan bermulanya kembara ke negeri-negeri seluruh Malaysia.

KKM2022 ini berkonsepkan serahan baton iaitu Baton Jalur Gemilang yang menjelajah ke seluruh negara bermula di Dataran Putra, Putrajaya dan melalui perjalanan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

KKM2022 ini akan berakhir pada 31 Ogos 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur iaitu lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2022. Konvoi keseluruhan KKM2022 melibatkan 434 kenderaan melibatkan jumlah peserta seramai 530 orang.

Keluarga Malaysia yang hadir memeriahkan pelancaran ini turut dihiburkan dengan persembahan muzik Irama Gema Asal, Irama Borneo, persembahan artis jemputan serta Pameran Kenegaraan iaitu ‘Dasawarsa Kemerdekaan’, pancaragam sekolah, penampilan maskot-maskot kegemaran kanak-kanak seperti Upin Ipin, badut belon dan lain-lain.

Peserta OKU dari Persatuan Orang Kerdil Malaysia antara yang menyertai program 'Berjalan Teguh Bersama' hari ini.

Justeru, bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan, seluruh Keluarga Malaysia diseru untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara dan menggelorakan semangat patriotisme.

Maklumat lanjut berkaitan aktiviti dan pertandingan sepanjang Bulan Kebangsaan 2022 boleh didapati dengan melayari portal Merdeka 360 melalui pautan http://merdeka360.my/web/

-ZS-