Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Disambut Penuh Meriah

Laporan/foto: Azuraini Abd Majid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Hampir 2,000 warga kota membanjiri Dataran Merdeka pagi tadi bagi sama-sama menyaksikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah hadir menyempurnakan majlis, serentak juga dengan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.

Upacara menaikkan bendera dan nyanyian Lagu Negaraku membuka tirai acara. Kemuncaknya adalah pelancaran nyanyian lagu-lagu patriotik diiringi persembahan tarian menandakan bermulanya Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022.

Warga kota yang hadir sangat teruja dengan aksi enam penerjun payung PDRM membawa bendera Jalur Gemilang dan Wilayah Persekutuan. Aksi mereka mendarat di padang Dataran Merdeka menjadi simbolik majlis.

-ZS-