Anak Muda di Pahang Berpeluang Jadi Usahawan Muda

Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurul

KUANTAN, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Anak muda di negeri Pahang berpeluang menjadi usahawan muda melalui Program Usahawan Muda Akie Burger Pahang dengan kerjasama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP).

Ketua Pegawai Eksekutif Akie Group Sdn. Bhd, Mohd Izzuddin Mohamed berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Pahang melalui MTSP bagi membuka peluang kepada anak muda yang berminat untuk menjadi usahawan Akie Burger.

“Kerajaan negeri memperuntukkan geran sebanyak RM250 setiap seorang, dan bakal usahawan yang berminat cuma perlu membayar RM250 sebagai tambahan daripada jumlah penuh yuran (RM500) dan pihak kami akan membekalkan segala kelengkapan termasuk kiosk, peralatan memasak, bahan mentah dan latihan serta bimbingan sebelum memulakan perniagaan,” katanya di Majlis Pelancaran Program Usahawan Muda Akie Burger Pahang yang dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang.

Program usahawan muda ini telah bermula sejak Julai 2021, dan sehingga kini seramai 58 usahawan muda telah menyertai program ini dan mendapat manfaat melalui program ini.

Salah seorang usahawan Akie Burger, Ahmad Hijril Asyraaf Ahmad Shahrullail, 28, berkata ini merupakan tahun ketiganya berniaga dan beliau mengalu-alukan anak muda di luar sana untuk mengambil peluang perniagaan ini.

-ZS-