Peniaga Labuan Patuhi Harga Siling Runcit Minyak Masak Botol

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Pemantauan yang dijalankan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan mendapati rata-rata peniaga di pulau itu mematuhi penetapan Harga siling minyak masak tulen kemasan botol 1 kilogram (kg), 2 kg, 3 kg dan 5 kg yang berkuatkuasa 8 Ogos 2022.

Menurut Pengarahnya, Junaidah Arbain, pemantauan secara keseluruhan mendapati para peniaga menjual produk sawit itu pada harga yang ditetapkan kerajaan.

“Bekalan minyak masak botol dan paket juga didapati stabil dan terdapat tujuh pemborong utama yang membekalkan sebanyak 150 metrik tan minyak masak untuk kegunaan penduduk Labuan selama sebulan,” katanya yang ditemui semasa melakukan pemantauan di salah satu pasaraya di sini pagi tadi.

Tambahnya, peniaga yang ingkar dengan harga siling itu boleh diambil tindakan undang-undang melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Sementara itu, seorang pengguna Nuraisah, 45, menarik nafas lega kerana dapat membeli minyak masak botol pada harga yang jauh lebih rendah.

“Harga yang ditetapkan kerajaan memang cukup rendah, sebelum ini saya beli minyak masak sawit 5 kg dengan harga RM 45.00 berbanding hanya RM34.70 sekarang.

“Saya harap kerajaan akan meneruskan inisiatif ini untuk meringankan beban perbelanjaan rakyat seperti saya yang membuat perusahaan kerepek kecil-kecilan,” kongsinya lagi.

-ZS-