Raja Perlis Zahir Penghargaan Terhadap Kesungguhan Kepimpinan Menteri Besar Perlis

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat

KANGAR, 10 Ogos (Malaysiaaktif) - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan Dan Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini semalam.

Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan khidmat terbaik dalam mentadbir dan membangunkan negeri Perlis.

“Pelbagai inisiatif dan insentif telah dilaksanakan dalam membantu membangunkan semula ekonomi negeri dan mengurangkan beban rakyat, terutama dalam tempoh pandemik COVID-19,” titah baginda.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda turut bersyukur kerana inisiatif JENDELA, Roll Out 5G dan Projek Point of Presence (PoP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat di negeri Perlis.

“Sistem telekomunikasi yang berkualiti adalah satu komponen penting dalam mewujudkan ekosistem pelaburan dan pelancongan yang menarik di Perlis,” titah baginda.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Hamdan Bahari, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

-ZS-