MenKOMM Tinjau Persiapan Hari Malaysia

Laporan/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak (Putrajaya)

MELAKA, 15 Sep (Malaysiaaktif) - Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa membuat tinjauan persiapan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka malam tadi.

Annuar kelihatan teliti ketika berbincang dengan pihak urusetia berkaitan persediaan akhir majlis tersebut ketika melakukan tinjauan.

Tinjauan Malaysia Aktif malam tadi turut mendapati kerja-kerja teknikal serta pemasangan kerusi teres bertingkat dan pentas persembahan hampir siap.

Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah, persiapan yang dilakukan pada malam ini teratur dan sempurna.

“Semua atur cara berlangsung pada raptai ini berjalan lancar mengikut apa yang dirancang sebelum ini,” katanya.

Seorang pengunjung, Adie Kastimun, 39, dari Malim, bercadang untuk hadir pada malam sambutan tersebut nanti.

“Saya lihat persiapan yang diadakan sangat rapi, sudah pasti ia akan lebih meriah pada malam 16 September nanti,” katanya.

Persediaan untuk meraikan hari bersejarah negara itu adalah hasil usahasama Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Melaka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

Turut hadir ke tinjauan ini adalah Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek.

-ZS-