Khatib Ajak Umat Islam Cinta Negara Melalui Lima 'Ta'

Laporan/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak (Putrajaya)

MELAKA, 16 Sep (Malaysiaaktif) - Khatib solat Jumaat Masjid Selat Melaka Raya, di sini Ustaz Mohd Fezwan Mohamad mengingatkan umat Islam agar saling mengenali (taaruf), mengasihi (tarahum) tolong-menolong (taawun), memahami (tafahum) dan melindungi (takaful) antara rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Seluruh rakyat perlu memahami, menghayati dan mengamalkan teras aspirasi serta asas perpaduan yang terkandung di dalam gagasan ini bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain, tetapi pada yang sama, Islam terus dihargai atau dimartabatkan.

“Teras perpaduan dalam gagasan ini adalah amat bertepatan dengan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah merana ia lebih hampir keada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui akan apa yang kamu lakukan," katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat, hari ini.

Menurutnya sebagai kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu, kerajaan telah memperkenalkan gagasan Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran untuk penyatuan dan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

"Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ini, marilah bersama-sama membina perpaduan dan bertoleransi dalam semua perkara, serta tidak melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui," katanya lagi.

-ZS-