Perkhemahan Merdeka Pupuk Semangat Cinta Negara

Laporan/foto: Fauziah Abdullah/Siti Hajar Kamis (Seremban)

SEREMBAN, 19 Sep (Malaysiaaktif) - Bahang Bulan Kebangsaan tahun ini masih terasa walaupun negara telah meraikan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang lalu.

Bagi penduduk Embun, Bandar Enstek dekat sini pelbagai program telah dirangka bermula Ogos sehinggalah ke penghujung bulan September yang bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan warga taman perumahan ini.

Razif Ithnain, 40, yang merupakan pengarah program ini berkata Program Perkhemahan Merdeka yang dianjurkan mendapat penyertaan sangat menggalakkan daripada anak-anak penduduk yang berusia enam hingga 13 tahun di mana seramai 33 orang peserta telah mengambil bahagian.

"Selain perkhemahan, program dua hari satu malam ini turut disertai oleh penduduk pelbagai peringkat umur yang melibatkan pelbagai aktiviti seperti senam robik, tazkirah merdeka, berjalan 10 ribu langkah dan tayangan filem berunsurkan kemerdekaan," katanya.

Turut diadakan, kuiz kenegaraan, sukaneka merdeka dan nyanyian lagu patriotik yang dikendalikan oleh Pejabat Penerangan Daerah Seremban.

-ZS-