Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Maxis Prihatin Mangsa Banjir

By 23 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 23 Mac (Malaysiaaktif) –  Pengendali perkhidmatan telefon bimbit Malaysia, Maxis Bhd telah menyumbangkan 300 kotak makanan kering kepada mangsa banjir khususnya di kawasan Parit Sulong, di sini semalam.

“Alhamdulillah pada hari ini (Rabu), Maxis sangat prihatin dengan mangsa banjir dan menyerahkan sumbangan kepada penduduk-penduduk setempat yang terkesan akibat banjir.

“Bukan sahaja membantu dari segi barangan keperluan tetapi semalam pasukan sukarelawan pasca banjir dari Kementerian Komunikasi dan Digital turut membantu membersihkan kawasan yang dilanda banjir,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sri Medan Zulkurnain Kamisan ketika menyampaikan ucapan di perkarangan Pejabat Penghulu Mukim Sri Medan Kawasan Parit Sulong.

Menurut penerima bantuan, Rafiza Mohamad, 43, bantuan yang diterima sangat bermakna.

“Terima kasih diucapkan kepada Maxis kerana memberi sumbangan di kala bulan Ramadan menghampiri.

“Walaupun keadaan rumah masih dalam proses pembersihan namun dengan adanya sumbangan ini sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan buat kami,” katanya.

Kelmarin Maxis turut menyerahkan sumbangan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Parit Sulong.

Sebanyak 54 kotak sumbangan telah diagihkan oleh Sukarelawan Penjawat Awam yang diketuai Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Komunikasi dan Digital Yusri Razalli@Ghazali.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor Naim Fahmi Ahmad Tajuddin dan Wakil Maxis, Ketua Jualan SME Wilayah Selatan Hirman Mohamad Soh.

-ZS-

Tinggalkan komen anda