Beli Cincin Emas Atas Talian, Tidak Sampai-Sampai

 

KUANTAN, 24 Okt (Malaysiaaktif) - Seorang kerani wanita membuat tempahan cincin pertunangan menerusi panggilan telefon membawa padah apabila barang kemas itu tidak diterimanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 22 tahun mendakwa berurusan dengan suspek wanita bernama Meena pada 5 Jun lepas.

Mangsa yang bekerja di sebuah tempat keagamaan mendakwa memperoleh nombor telefon suspek menerusi iklan di laman sosial Facebook.

"Mangsa bersetuju menempah dua bentuk cincin emas untuk majlis pertunangannya yang dijadualkan pada 15 Sept lalu dan telah membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM380.

"Mangsa juga membuat bayaran penuh sebanyak RM3,370 pada 11 Jun lepas dan dimaklumkan barang kemas itu akan dihantar melalui pos sekitar Julai.

"Bagaimanapun, mangsa tidak menerima barangan itu dan suspek memberikan pelbagai alasan apabila ditanya sebelum didakwa bersetuju memulangkan wang kerana gagal menyiapkan cincin itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir menambah suspek berjanji untuk memulangkan wang pada Sept 2018, namun pada 16 Okt lalu dia menghantar pesanan WhatsApp kepada mangsa berserta resit yang dikatakan bukti penghantaran cincin berkenaan.

Bagaimanapun, semakan yang dibuat mangsa di pejabat pos mendapati tiada rekod bagi nombor resit itu, dan Meena sekali lagi memberikan pelbagai alasan apabila dihubungi mangsa.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dekat sini, semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

-ER