Pemilik Leicester City Maut Helikopter Terhempas





LEICESTER CITY, 29 Okt (Malaysiaaktif) -  Jutawan pemilik Leicester City yang juga rakyat Thailand disahkan sebagai antara lima mangsa terbunuh dalam nahas helikopter di tempat letak kereta bersebelahan Stadium Liga Premier, sejurus berlepas.


Sejumlah besar peminat yang sudah menjangkakan berita buruk itu meletakkan kalungan bunga, selendang bola dan melakukan upacara sembahyang mengikut agama Buddha di luar perkarangan sebagai memperingati mendiang Vichai Srivaddhanaprabha, lelaki bertanggungjawab untuk kemenangan kelab terbabit dalam kejuaraan Premier pada 2016.


“Dunia telah kehilangan seorang lelaki yang sangat hebat,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.


“Leicester City adalah satu keluarga di bawah kepimpinan beliau. Sebagai sebuah keluarga, kami akan meratapi pemergian mendiang dan meneruskan wawasan kelab yang kini adalah legasi ditinggalkan mendiang,” kata kelab itu lagi.


Buku ucapan takziah akan diletakkan di stadium berkenaan bermula esok dan pasukan itu turut menangguhkan perlawanan menentang Southampton.


“Semua orang dalam kelab ini amat terharu dengan reaksi keluarga besar sukan bola sepak dan sokongan serta solidariti yang mereka berikan sangat dihargai pada waktu sukar ini,” kata kenyataan itu.


Polis menamakan empat mangsa lain sebagai Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare iaitu dua petugas Vichai, juruterbang Eric Swaffer dan penumpang Izabela Roza Lechowicz.


Vichai, 60, pemilik empayar bebas cukai King di Thailand sering kelihatan setiap kali perlawanan diadakan dan sering berulang-alik dari negara asalnya untuk menyaksikan kelabnya bermain


Beliau dan empat penumpang lain menaiki pesawat berwara biru itu dan berlepas dari tengah padang sejurus stadium itu kosong. usai perlawanan dengan West Ham yang berkesudahan dengan seri 1-1.


Saksi berkata, helikopter itu dilihat seolah-olah mengalami masalah teknikal di kipas belakang sejurus berlepas.


Foto menunjukkan bangkai pesawai terbabit dijilat api di tempat meletak kereta Stadium King Power, lokasi sambutan meraikan kejayaan Leicester City menjuarai Liga Premier dua tahun lalu. - AFP




-ER