Bukit Sadok Simpan Rahsia Rentap dan ‘Bujang Timpang Berang’

Laporan/foto: Senie Endin/Robin Junang (Sarawak)

SRI AMAN, 12 Nov (Malaysiaaktif) - Bujang Timpang Berang adalah nama timangan bagi sebatang meriam yang sangat terkenal di Sarawak suatu ketika dulu. Ia merupakan senjata yang pernah digunakan oleh Rentap ketika menentang Rajah James Brooke pada zaman penjajahan dahulu. Gelaran Bujang Timpang Berang atau dalam bahasa Melayu “Bujang Patah Bahu”  kerana bahu kanan meriam ini telah patah.

Mengikut sejarah, meriam ini telah dibawa oleh Orang Kaya Pemanca Dana Bayang dari kawasan Empawa Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia iaitu sebuah kawasan yang dijajah oleh Belanda sekitar tahun 1837. Terdapat ukiran  sauh berserta dengan nombor 1515 pada tubuh meriam dan beratnya lebih kurang  249.5 kilogram.

Meriam ini pernah digunakan oleh Orang Kaya Pemanca Dana Bayang untuk mempertahankan kubunya di Nanga Padeh, Layar. Namun pada 11 Jun 1843, kubu tersebut telah ditawan oleh James Brooke bersama dengan Kapten Henry Keppel.

Lakar Pahlawan Rentap, foto: google Lakar Pahlawan Rentap, foto: Google



Pada bulan Jun tahun 1857, serangan yang pertama dilakukan oleh Charles Brooke terhadap kubu Rentap di Bukit Sadok. Meriam ini telah digunakan oleh Rentap untuk bertempur dan mempertahankan kubunya di puncak Bukit Sadok.  Serangan yang dilancarkan oleh Charles Brooke gagal kerana ramai askar beliau cedera dan mati.

Pada bulan April 1858, meriam tersebut digunakan oleh Nanang, Aji dan Luyoh mempertahankan kubu mereka di Nanga Padeh namun kubu tersebut tumpas ditangan askar-askar Charles Brooke. Pada bulan Ogos 1858, Charles sekali lagi menuju ke Bukit Sadok untuk menyerang Rentap. Namun serangan askar Tuan Muda Charles ini juga berjaya dipatahkan Rentap dan pengikutnya. Ramai askar Tuan Muda Charles yang melarikan diri. Kemenangan ini menyebabkan Rentap semakin terkenal dan semakin digeruni oleh pihak musuh ketika itu.

Pada 16 Oktober 1861, Charles mengadakan ekspedisi ketiga untuk menyerang Rentap di Bukit Sadok.  Pada ekspedisi kali ini, sebanyak 12 meriam telah dibawa termasuk sebuah meriam yang digelar ‘Bujang Sadok’ beratnya 363.2 kilogram manakala berat peluru pula lebih kurang 6 kilogram yang kini masih disimpan di Muzium Negeri  Sarawak.

'Bujang Tempang Berang' yang diletakkan di Pejabat Daerah Betong 'Bujang Tempang Berang' yang diletakkan di Pejabat Daerah Betong



Pada 28 Oktober 1861, meriam ‘Bujang Sadok’ melepaskan 17 das tembakan dan merosakkan sebahagian daripada kubu Rentap. Rentap pula membalas tembakan dengan menggunakan meriam ‘Bujang Timpang Berang’ (kini disimpan di Pejabat Daerah Betong). Namun penembak meriam Rentap telah terkena tembakan menyebabkan darahnya terkena belerang dan akhirnya meriam ini tidak berfungsi lagi.

Apabila Rentap menyedari keadaan ini, beliau mengarahkan pengikutnya berundur dan mempertahankan kubu di kawasan dinding batu berdekatan dengan kubu.Berikutan peristiwa itu Rentap dan pasukannya tumpas pada pertempuran tersebut. Selepas kubu Rentap dikalahkan, laras meriam telah disumbat menggunakan besi supaya tidak boleh digunakan.

Meriam tersebut telah ditinggalkan di Bukit Sadok dan terbiar selama 65 tahun. Pada tahun 1926, Pegawai Daerah Betong, G.R.H. Arundell bersama dengan Penghulu Unji Spak telah membawa meriam tersebut turun dari Bukit Sadok dan menyimpannya di Kubu Lily di Nanga Entanak, Betong. Pada 9 Oktober 1990, meriam tersebut  dipindahkan dari Kubu Lily ke Pejabat Daerah Betong di Bukit Bangun untuk dijadikan sebagai artifak sejarah perang.

Kepahlawanan Rentap semasa melawan pemerintahan Rajah Brooke telah menjadi inspirasi kepada pejuang Dayak semasa zaman darurat Komunis. Ini termasuk Kanang Anak Langkau, Awang Anak Raweng dan ramai lagi, di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya, Rentap dicatat dalam sejarah sebagai perwira negara. Justeru itu kawasan kubu Rentap di Bukit Sadok merupakan lokasi penting penting untuk rujukan masa hadapan.
-ER