PM Hantar Surat Bantahan Ke Perancis, Norway Berhubung Larangan Minyak Sawit

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Malaysiaaktif) - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menulis surat kepada presiden Perancis dan perdana menteri Norway untuk membantah keputusan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) yang melarang penggunaan minyak sawit, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

“Kami sedang mengusahakannya sekarang," katanya kepada pemberita pada Reach and Remind, Friends of the Industry Seminar 2019 and Dialogue di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai negara pengeluar minyak sawit, Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan keputusan yang dibuat oleh negara-negara ini dan tindakan perlu diambil atau ia akan memberi kesan kepada hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan EU.

“Satu demi satu, Parlimen EU telah meluluskan resolusi atau peraturan seperti ini," katanya.

Terdahulu, dilaporkan kerajaan Norway telah menjadi negara EU ketiga untuk meluluskan resolusi melarang penggunaan minyak sawit, selepas Switzerland dan Perancis.

Kok berkata sebaik surat itu siap, kementerian akan menghantar salinan kepada media Malaysia.- BERNAMA